Total Pageviews

Tuesday, 2 August 2011

MODUL RINGKASAN DAN PEMAHAMAN PMR

BAHASA MELAYU

MODUL RINGKASAN DAN PEMAHAMAN



Nama : ____________________

Tingkatan : _____________




DISEDIAKAN OLEH,

PN. SEE GIAK CHIEW,

GURU BAHASA MELAYU,

SMK SERI MUTIARA,

KUALA LUMPUR.






Petua Menjawab Ringkasan dan Pemahaman Petikan Umum

Kelemahan Calon Peperiksaan

. Menyalin isi secara terus daripada petikan ( ayat demi ayat) dan aspek yang diringkaskan bukannya aspek yang ditanya.
• Memotong-motong ayat dalam petikan dan dijadikan satu perenggan.
• Memasukkan huraian atau keterangan isi dalam ringkasan.
• Menulis isi yang tidak lengkap ataupun menulis bilangan isi yang kurang daripada jumlah isi yang dikehendaki dalam jawapan.
Calon menulis lebih daripada 84 patah perkataan.


Ringkasan dan Pemahaman Petikan Umum
Panduan Menjawab Ringkasan

a) Bermula tahun 2005, calon akan diberikan satu petikan berserta kata kunci untuk diringkaskan.

b) Petikan tersebut sekitar 220 hingga 300 patah perkataan.
Contoh: … tulis sebuah petikan tentang kepentingan permainan tradisional…

Calon perlu meringkas isi-isi yang berkaitan dengan kepentingan permainan tradisional sahaja.

c) Jadi, calon diminta menggarisi kata kunci yang diberi dan fahami maksud kata kunci tersebut

d) Contoh kata kunci yang dikemukakan dalam soalan ringkasan termasuklah
 sebab-sebab/faktor-faktor/punca-punca
 kesan-kesan/ implikasi/impak
 kepentingan /kebaikan/faedah/kesan positif
 keburukan/ancaman/kelemahan/kesan negatif
 kekangan/masalah/halangan
 tugas/peranan/tanggungjawab/fungsi/sumbangan
 langkah-langkah/usaha-usaha/cara-cara/kaedah/tindakan

e) Kemudian, calon diminta membaca petikan dengan teliti dan menggarisi ayat-ayat yang merupakan isi-isi penting berdasarkan kehendak soalan.

f) Tidak semestinya setiap perenggan dalam petikan perlu diringkaskan kerana kadangkala isi-isi dalam perenggan tertentu tiada kaitan dengan aspek yang ditanya.

g) Calon tidak perlu memasukkan keterangan, contoh, dan ayat yang diulang atau membawa maksud yang sama dalam ringkasan.

h) Calon diminta menjawab dalam satu perenggan sahaja. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Ayat yang melebihi jumlah perkataan yang ditetapkan tidak akan diberi markah oleh pemeriksa.

i) Calon digalakkan mengemukakan enam isi asalkan panjang ringkasan tidak melebihi jumlah perkataan yang ditetapkan.

j) Calon dikehendaki mengemukakan satu isi dalam satu ayat sahaja dengan menggunakan ayat yang gramatis. Ayat-ayat yang dibina haruslah ringkas, tepat dan padat.

k) Calon perlu menggunakan dua penanda wacana yang sesuai untuk menunjukkan kesinambungan ayat dalam ringkasan.

l) Gunakan gaya bahasa sendiri , yakni menggantikan perkataan tertentu yang membawa maksud yang sama atau memendekkan ayat tanpa menjejaskan maksud asal petikan.
Contohnya, perkataan ‘punca’ boleh digantikan dengan ‘faktor’,’penyebab’ atau ‘penyumbang’.

m) Jangan mengubah struktur ayat dalam petikan ( membentuk ayat pasif) atau membina ayat yang tiada subjek. Contoh:
Selain itu, meningkatkan taraf hidup masyarakat. ( ayat tergantung)

n) Calon tidak perlu menyertakan ayat yang merupakan pendahuluan dan penutup dalam petikan.

o) Ringkasan berbeza dengan rumusan. Calon tidak perlu mengemukakan idea atau pendapat sendiri sebagai kesimpulan.

p) Pastikan calon menyemak ringkasan bagi mengesan kesalahan ejaan, tatabahasa dan tanda baca. Penggunaan kata singkatan, iaitu ‘drp’, ‘yg’ , dan ‘pd’ dikira sebagai kesalahan tatabahasa.

q) Setelah selesai, kira jumlah patah perkataan dalam ringkasan dan catatkan di sudut kanan (di bawah baris akhir) ringkasan tersebut.

Perkataan yang dikira sebagai satu patah perkataan dalam ringkasan.

 Nama Khas [ Kementerian Kesihatan]
 Tarikh [ 11 November 2010]
 Kata ganda [ bergotong-royong, alat-alat tulis]

Gantikan kata bilangan dengan penggandaan bagi menjimatkan jumlah perkataan. Contohnya, ‘para pelajar’ ( dua perkataan) ditulis sebagai ‘pelajar-pelajar’ (satu perkataan).

 Angka yang ditulis dalam perkataan [ dua ratus lima puluh]
 Gelaran [jawatan [ Tun Datuk Profesor Dr. Wan Zahid]

Penanda wacana , kata majmuk yang dieja berasingan dan kata sendi masih dikira sebagai dua perkataan. Contohnya, ‘Selain itu’, ‘Seperkara lagi’, ‘Tambahan pula’,‘jalan raya’, ‘surat khabar’,dan ‘di sekolah’.


Pemarkahan
a) Isi : 10 markah
Calon diminta menyertakan sekurang-kurangnya lima isi dan menghasilkan ringkasan tidak melebihi 80 patah perkataan.

Jumlah Isi Markah
5 isi 9-10
4 isi 7-8
3 isi 5-6
2 isi 3-4
1 isi 1-2

• Markah isi akan ditolak jika calon mencantumkan dua isi dalam satu ayat.
• Isi yang tidak lengkap juga akan ditolak markah.

Markah tidak akan diberi untuk isi yang dikemukakan dalam bentuk ayat tergantung iaitu ayat yang tanpa subjek. Contoh:
Selain itu, meningkatkan taraf hidup masyarakat.

b) Bahasa : 10 markah
Bahasa dinilai secara impression.
* Bahasa digunakan untuk menyampaikan maklumat. Jadi, markah bahasa tidak akan melebihi markah isi.

- Bagi aspek bahasa pula, pemberian markah adalah berdasarkan:
 kelancaran idea
 ejaan yang betul
 struktur ayat yang gramatis
 kosa kata yang luas
 penggunaan tanda baca yang tepat


Penilaian Markah Bahasa dalam Ringkasan

Peringkat Markah


Cemerlang 9-10

 Bahasa yang amat baik dan cukup lancar
 Ayat yang dibina ialah ayat yang menggunakan:
- kata yang tepat
- struktur ayat yang gramatis
- imbuhan yang betul
- penanda wacana yang sesuai
 - Ejaan dan tanda baca yang betul

Baik 6-8
 Bahasa masih baik dan gramatis
 Ayat yang dibina ialah ayat yang menggunakan:
- kata yang terhad
- truktur yang gramatis
- penanda wacana yang sesuai
 Kesalahan ejaan dan tanda baca yang minimum

Memuaskan 3-5
 Bahasa kurang lancar
 Ayat, ejaan, dan tanda baca mempunyai kesalahan yang ketara.


Penguasaan Minimun 1-2
 Penguasaan bahasa yang lemah
 Ayatnya disalin terus daripada perenggan


Rangka Ringkasan

Antara ___( kata kunci soalan) _______iaitu/termasuklah___ ________________(isi1)_______. Selain itu,_______________________ _______(isi2)____________. Seterusnya,________ (isi3)_____________.
Seperkara lagi, __________(isi 4)___________________. Akhir sekali,
_____(isi 5) ____________. (___ patah perkataan)



******Jangan mulakan ayat dengan
Ianya. /Ia /Ini dapat……..

Penggunaan rangkai kata yang sesuai pada awal ayat

- Isu /Masalah/ Aktiviti /Budaya ___(kehendak soalan)___________ ……. /
- Amalan ini ……… / Sikap ini …….. /Hal ini …….


Strategi Menjawab Pemahaman Petikan Umum

Calon diminta menjawab soalan pemahaman berdasarkan petikan ringkasan.

Jawapan dalam bentuk poin ataupun binaan ayat tergantung tidak akan diberi markah penuh walaupun jawapan tersebut betul.


a) Calon akan diberikan tiga soalan yang terbahagi kepada tiga aspek, iaitu

i. Soalan maksud rangkai kata berdasarkan konteks ayat. [2 markah]
- Jawapan mesti dalam bentuk ayat lengkap

ii.Soalan pemahaman berdasarkan petikan [4 markah]
dan menggunakan penanda wacana untuk menunjukkan kesinambungan ayat.

- Kemungkinan satu isi satu markah dan kemungkinan satu isi dua markah. Sebagai jalan selamat, calon diminta mengemukakan semua isi berkaitan yang terdapat dalam petikan.

iii. Soalan Kemahiran Berfikir secara Kreatif dan Kritis [4 markah]

- Bagi Soalan (3), calon diminta mengemukakan pendapat sendiri berdasarkan kehendak soalan. Aspek yang ditanya tidak terdapat dalam petikan.

- Calon haruslah mengemukakan minimum dua isi dengan menggunakan ayat yang rlainan dan menggunakan penanda wacana yang sesuai untuk menunjukkan kesinambungan ayat terutama sebelum memulakan ayat untuk isi kedua.

- Isi kedua bukannya huraian atau kesimpulan daripada aspek yang telah dibincangkan sebelumnya.

PRAKTIS 1
Bahagian A(i): Ringkasan [20 markah]
[Masa yang diperuntukkan:30 minit]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang punca-punca remaja merokok. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Keprihatinan banyak pihak tentang bahaya merokok menyebabkan pelbagai usaha dijalankan untuk membendung gejala negatif ini daripada terus mempengaruhi para remaja. Kebanyakan remaja terutamanya pelajar sekolah mengakui bahawa mereka merokok lantaran pengaruh daripada rakan sebaya. Sikap terikut-ikut dengan tabiat tidak sihat ini seterusnya akan menghanyutkan mereka sehingga merasakan bahawa merokok itu bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup.

Tidak kurang juga yang secara jujur mengakui bahawa rasa bosan dengan beban tugas sebagai pelajar telah mendorong mereka menghisap rokok. Jika alasan ini dikaji, ternyata kebanyakan pelajar ini merupakan mereka yang malas dan ada yang tidak menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M). Oleh itu, mereka dengan mudah menuding jari kepada pihk lain. Ibu bapa menjadi sasaran untuk dipersalah kerana dikatakan bahawa ibu atau bapa yang merokok akan menyebabkan anak-anak mengikut jejak langkah mereka.

Walaupun kita lihat banyak iklan mahupun kempen tidak merokok dijalankan namun remaja tetap remaja. Naluri ingin tahu yang ada pada mereka acapkali mendorong mereka mencuba sesuatu yang ditegah. Naluri ini jika tidak dikawal akan mengakibatkan rasa ketagihan dan rasa seronok apabila dapat menghisap rokok.

Di Malaysia rokok boleh didapati dengan mudah dan boleh dibeli walaupun Cuma sebatang. Keadaan ini menjadikan tabiat merokok semakin berleluasa kerana dengan harga serendah empat puluh sen, pelajar sekolah sudah boleh membeli rokok. Memandangkan longgarnya penguatkuasaan terhadap penjualan rokok, kerajaan masih mengambil langkah-langkah pencegahan supaya masalah remaja merokok dapat diatasi.

Amatlah malang seandainya remaja beranggapan bahawa mereka akan lebih bergaya dan kelihatan lebih dewasa apabila merokok. Alasan ini ternyata salah kerana merokok sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kebaikan sebaliknya mengundang ketagihan yang berpanjangan.
(Dipetik dan diubahsuaian daripada Fokus, September 2004)


Bahagian A(ii) : Pemahaman [10 markah]
[ Masa yang diperuntukkan: 10 minit]
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.
1.Apakah maksud rangkai kata menuding jari kepada pihak lain? [2 markah]
2.Mengapakah penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja? [4 markah]
3.Cadangkan dua langkah untuk mencegah remaja daripada merokok. [4 markah]

PRAKTIS 2
Bahagian A(i):Ringkasan [20 markah] [Masa yang diperuntukkan:30 minit]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kesan-kesan aktiviti pembakaran sampah secara terbuka. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Pembakaran secara terbuka sering kali menimbulkan masalah kepada orang ramai. Lebih mengecewakan lagi apabila pemabakaran terbuka itu dilakukan secara sengaja di pusat-pusat pelupusan sampah. Penduduk di kawasan sekitar pastinya berasa tidak selesa apabila terpaksa terus-menerus menghidu bau yang busuk lagi meloyakan. Malangnya kegiatan pembakaran sampah secara terbuka ini seolah-olah tiada penghujungnya kerana tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa kepada syarikat atau pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Keadaan ini ditambah pula dengan kesedaran orang ramai terhadap kesan pembakaran terbuka adalah rendah.

Musibah yang datang daripada pembakaran terbuka tidak terhenti setakat pencemaran bau sahaja malah lebih dahsyat lagi ialah air busuk ammonia yang terhasil di kawasan pelupusan sampah secara terbuka ini menyebabkan aliran air tersebut mengalir ke sungai berdekatan. Sungai yang tercemar seterusnya akan mengundang lebih banyak permasalahan. Penduduk-penduduk yang bergantung hidup kepada sungai untuk mencari rezeki kerap mengeluh kerana hidupan akuatik seperti ikan mahupun udang akan mati apabila air sungai tercemar.

Perbuatan membakar sampah-sarap sama ada secara besar-besaran di tapak pelupusan sampah mahupun dilakukan oleh individu-individu tertentu tanpa disedari mengundang bahaya yang lebih buruk, iaitu jerebu. Pada masa jerebu melanda negara, nampaknya kesedaran umum terhadap kesan pembakaran terbuka kian meningkat dan pembakaran terbuka tidak lagi dilakukan. Namun, apabila negara bebas daripada jerebu, pembakaran terbuka nampaknya berulang kembali.

Sebenarnya pembakaran terbuka secara berterusan khasnya di pusat pelupusan sampah boleh menyebabkan penduduk di kawasan sekitar mengalami batuk, asma dan demam yang berpanjangan terutamanya kanak-kanak dan orang tua. Sewajarnya pihak-pihak tertentu peka terhadap masalah yang melibatkan kesihatan penduduk dengan menutup semua pusat pelupusan sampah yang menggunakan kaedah pembakaran terbuka.

Di Malaysia, kesedaran orang ramai khasnya terhadap kesan pembakaran terbuka nampaknya masih terlalu rendah. Oleh yang demikian, kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan atau akta berkaitannya supaya masyarakat sedar bahawa melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Penduduk Derita Jerebu
Pembakaran Sampah”, Utusan Malaysia, 24 Julai 2007)

Bahagian A(ii) : Pemahaman [ 10 markah ]
[ Masa yang diperuntukkan: 10 minit]
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.
1.Apakah maksud frasa seolah-olah tiada penghujungnya? [ 2 markah ]
2.Mengapakah pembakaran terbuka sukar hendak dihapuskan? [ 4 markah ]
3.Kitar semula mampu mengelakkan pembakaran sampah secara terbuka.
Berikan dua kebaikan amalan kitar semula. [ 4 markah ]


PRAKTIS 3
Bahagian A(i):Ringkasan [20 markah]
[Masa yang diperuntukkan:30 minit]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang peranan bahasa dalam kehidupan. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bahasa merupakan identiti sesebuah bangsa dan negara yang merdeka. Tanpa bahasa, identiti sesebuah bangsa itu tidak dapat dikenali. Selain berfungsi sebagai alat untuk berkomunikasi, bahasa juga penting sebagai alat mempertahankan jati diri bangsa dan negara, mewujudkan kekuatan dalaman, tamadun, dan budaya bangsa itu sendiri. Sebagai modal budaya terpenting, bahasa yang melambangkan identiti sesuatu amat diperlukan terutama untuk menangkis arus globalisasi agar kelangsungan dan kewujudan bangsa yang merdeka dapat dikekalkan.

Sebagai sebuah negara yang didiami oleh kaum yang pelbagai, peranan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan perlu dipandang dengan lebih serius. Hal ini demikian kerana terdapat sesetengah pihak yang beranggapan bahawa kedudukan Bahasa Malaysia kini sudah terjamin kerana menjadi bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Hakikatnya, Bahasa Malaysia hanya sekadar menjadi bahasa rasmi, tetapi penggunaannya sering kali dipinggirkan terutama apaabila melibatkan orang kenamaan. Golongan korporat malah dalam kalangan akademik juga lebih selesa menggunakan Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Malaysia. Mereka sering menganggap Bahasa Inggeris lebih tinggi kedudukannya.

Dalam kalangan ibu bapa hari ini, kebanyakan berpendapat bahawa untuk memahirkan anak-anak dengan Bahasa Inggeris, bahasa ini perlu diajar semasa anak-anak masih kecil lagi. Hal ini memang ada kebenarannya. Namun, ibu bapa juga harus sedar bahawa jika bahasa asing ini diajar terlebih dahulu tanpa memberikan penekanan kepada bahasa ibunda yang amat penting untuk proses melatih mereka berfikir, keadaan ini akan mengundang kepada masalah budaya bahasa.

Kepentingan untuk mempelajari Bahasa Inggeris adalah untuk memudahkan interaksi dengan dunia luar, dan mempelajari ilmu pengetahuan yang terdapat dalam Bahasa Inggeris, bukannya untuk menggantikan bahasa sendiri dengan bahasa asing atau sekadar untuk menunjukkan bahawa rakyat di Malaysia berada seiring dengan negara maju dan menunjukkan kepandaian kita bertutur dalam bahasa antarabangsa.

Semua bangsa di dunia ini telah dianugerahkan oleh Tuhan dengan keupayaan untuk berfikir dan mencari ilmu dan pengetahuan dalam bahasanya sendiri. Seandainya bangsa itu tidak maju, puncanya bukanlah bahasanya tetapi ketidakupayaan bangsa itu untuk mencipta atau mengembangkan ilmu menggunakan bahasa sendiri.

Justeru, demi mengisi makna sesebuah negara yang merdeka, kita perlu kembali menilai di manakah kita sebagai bangsa Malaysia yang merdeka menempatkan bahasa kebangsaan yang merupakan lambang jati diri dan maruah bangsa. Kesedaran ini penting agar kita tidak dianggap oleh orang luar sebagai bangsa yang tidak bermaruah kerana meminggirkan bahasa sendiri.
Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Maruah Bahasa Malaysia’,
Utusan Malaysia, 23 Ogos 2007)



Bahagian A(ii) : Pemahaman [ 10 markah ]
[ Masa yang diperuntukkan: 10 minit]

Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.

1.Apakah maksud rangkai kata menangkis arus globalisasi? [2 markah]

2.Berdasarkan petikan, nyatakan kepentingan mempelajari Bahasa Inggeris? [4 markah]

3.Pada pendapat anda, mengapakah penggunaan Bahasa Malaysia tidak dititikberatkan oleh masyarakat kini? [4 markah]

PRAKTIS 4
Bahagian A(i):Ringkasan [20 markah] [Masa yang diperuntukkan:30 minit]

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha untuk mengekalkan permainan tradisional. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Negara Malaysia kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional. Antara permainan tradisional tersebut termasuklah gasing, wau, congkak, sepak raga dan sebagainya. Pada suatu ketika permainan tradisional dimainkan untuk memenuhi masa lapang. Namun begitu, permainan tradisional kian dilupakan dan semakin pupus ditelan peredaran zaman.

Oleh itu, pihak kerajaan khususnya perlulah mengambil pelbagai inisiatif untuk menghidupkan dan mengekalkan minat masyarakat terhadap permainan tradisional. Satu daripada usaha yang dapat dilakukan termasuklah dengan memperkenalkan permainan tradisional kepada para pelajar. Pada peringkat sekolah rendah, pelajar-pelajar seharusnya sudah biasa dan mengenali permainan tradisional melalui kegiatan kokurikulum yang ditetapkan dalam kurikulum sekolah rendah. Pihak sekolah boleh memperkenalkan permainan tradisional ini sewaktu mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan atau kegiatan di luar bilik darjah. Jadi, untuk membiasakan para pelajar dengan permainan tradisional ini, pertandingan antara kelas, kumpulan, atau sekolah boleh diadakan. Selain itu, permainan tradisional seperti silat dan sepak raga boleh dijadikan acara olah raga. Suatu peraturan yang tertentu dan seragam perlu digubal agar permainan tradisional ini dapat dipertandingkan sebagai suatu bentuk sukan juga.

Pihak media massa perlu memainkan peranan untuk menghidupkan permainan tradisional. Pihak media cetak dan media elektronik boleh memberikan publisiti yang meluas tentang permainan tradisional agar segenap lapisan masyarakat dapat mengenalinya. Mereka boleh menyiarkan publisiti secara besar-besaran tentang permainan tradisional. Jenis-jenis permainan dan cara-cara permainan ini seharusnya dipaparkan berkali-kali agar memudahkan anggota masyarakat untuk memahaminya. Sementara itu, ketika menyambut Hari Keluarga di kawasan perumahan, temasya sukaneka, atau sukan rakyat, permainan tradisional haruslah menjadi satu daripada acara yang diutamakan.

Pihak berkenaan terutama agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan perlu mengadakan bengkel, kursus, dan demonstrasi permainan tradisional secara berterusan.Peluang untuk menyertai bengkel seperti ini haruslah dibuka seluas-luasnya dan segala kemudahan bagi penyertaan mereka haruslah dibiayai oleh pihak yang berkenaan. Pihak kerajaan boleh juga menggalakkan pihak swasta menjadi penaja bagi sesuatu pertandingan, pertunjukan, bengkel, atau demonstrasi permainan tradisional. Pihak Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan digalakkan mengadakan pertunjukan permainan tradisional bukan sahaja dalam kalangan masyarakat setempat malah juga dalam masyarakat luar negeri. Jadi, menerusi usaha yang rencam ini masyarakat dapat mengenali dan menghargai permainan tradisional.

Masyarakat haruslah menyokong dan memberikan kerjasama terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh pihak berkenaan. Dengan usaha ini tentulah permainan tradisional akan diminati dan tidak dilupakan oleh generasi muda. Oleh yang demikian diharapkan permainan tradisional akan terus kekal sepanjang zaman.


Bahagian A(ii) : Pemahaman [ 10 markah ]
[ Masa yang diperuntukkan: 10 minit]
Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.

1.Apakah mahsud rangkai kata usaha yang rencam? [2 markah]

2.Bagaimanakah pihak media dapat memainkan peranan untuk menghidupkan permainan tradisional ini? [4 markah]

3.Pada pandangan anda, apakah faktor-faktor yang memungkinkan generasi sekarang tidak meminati permainan tradisional? [4 markah]

PRAKTIS 5
Bahagian A(i): Ringkasan [20 markah] [Masa yang diperuntukkan:30 minit]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang ancaman makanan segera. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kehebatan iklan dalam mempengaruhi pengguna membuat keputusan untuk membeli produk atau perkhidmatan memang tidak dapat dinafikan. Paling menarik perhatian pengguna ialah iklan makanan segera di media cetak dan elektronik. Berbanding kesan pengaruh media cetak yang mungkin tidak begitu hebat, pemaparan iklan makanan segera di media elektronik dilihat begitu kuat mempengaruhi pengguna. Justeru, syarikat-syarikat yang menerajui empayar makanan segera tidak teragak-agak membelanjakan jutaan ringgit pada iklan, penajaan, dan promosi untuk menawan hati orang ramai tentang kehebatan produk mereka.

Restoran makanan segera dipaparkan sebagai tempat yang menarik bukan sahaja untuk menjamu selera, malah sekali gus sebagai tempat bersantai untuk seluruh keluarga terutama kanak-kanak dengan menyediakan kemudahan untuk bermain. Pemberian hadiah berupa permainan dijadikan umpan yang cukup berkesan. Ibu bapa yang tidak berminat untuk ke restoran makanan segera mudah sahaja tewas dengan pujuk rayu si anak yang inginkan hadiah permainan yang ditawarkan itu.

Makanan segera yang amat digemari rakyat negara ini mengandungi kandungan gula, lemak, garam, dan bahan kimia yang tinggi dan mengancam kesihatan terutama kanak-kanak. Makanan terbabit merupakan penyumbang kepada penyakit seperti sakit jantung, obesiti, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang yang dihidapi kira-kira tiga juta penduduk di negara ini. Kebanyakan menu makanan segera mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi tanpa vitamin atau zat berfaedah terutama untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Kalori yang memasuki badan sukar untuk dibuang dan akan mengganggu sistem metabolisme badan.

Orang ramai sememangnya mengetahui bahawa makanan segera tidak mengandungi sebarang zat kecuali kandungan lemaknya yang tinggi di samping bahan perasa yang menjadikannya begitu enak dan menerbitkan rasa ketagih dalam kalangan penggemarnya. Namun, pengetahuan terhadap kemudaratan makanan segera tidak berupaya membendung kegilaan orang ramai walaupun pelbagai masalah kesihatan yang berkaitan dengan pemakanan ini sering dihebahkan. Tambahan pula, tiada kesan serta-merta yang dialami ekoran pengambilan makanan tersebut. Peranan yang dimainkan oleh persatuan pengguna seperti CAP dan FOMCA melalui penerbitan buletin dan risalah-risalah pengguna tentang bahaya yang terkandung dalam makanan segera tidak dipedulikan oleh sebahagian besar masyarakat.

Cadangan kerajaan untuk menghentikan penyiaran iklan makan segera yang disifatkan sebagai pembunuh senyap merupakan suatu langkah yang amat bijak dan perlu dilaksanakan segera bagi membantu masyarakat hari ini mengamalkan gaya hidup sihat. Untuk menyakinkan orang ramai terhadap bahaya makanan segera, persatuan pengguna perlu bekerjasama dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Kesihatan, Pelajaran dan juga Kementerian Penerangan melalui gerakan bersepadu.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada ‘Ancaman Makanan Segera’,
Utusan Malaysia 21 Februari 2007)

Bahagian A(ii) : Pemahaman [ 10 markah ]
[ Masa yang diperuntukkan: 10 minit]

Berdasarkan petikan Bahagian A(i), jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat sendiri.

1.Apakah maksud rangkai kata menawan hati orang ramai ?

2.Berdasarkan petikan, nyatakan langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk membendung pengaruh iklan makan segera.

3.Pada pendapat anda, mengapakah masyarakat gemar menikmati makanan segera?


JAWAPAN MODUL RINGKASAN DAN PEMAHAMAN

PRAKTIS 1
Ringkasan- Punca-punca remaja merokok

Antara punca remaja merokok adalah disebabkan terpengaruh oleh rakan sebaya yang merokok. Mereka juga beranggapan bahawa merokok bukanlah sesuatu yang buruk atau menyalahi etika hidup. Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa mereka bosan dengan beban tugas sebagai pelajar. Di samping itu, remaja juga menyalahkan ibu bapa kerana dikatakan menjadi pendorong kepada mereka untuk merokok walaupun secara tidak langsung. Naluri ingin tahu yang ada pada remaja juga memungkinkan mereka merokok. Seperkara lagi, penguatkuasaan terhadap penjualan rokok menyebabkan masalah ini semakin serius. ( 79 patah perkataan )

Pemahaman
1.Rangkai kata ‘menuding jari kepada pihak lain’ bermaksud menyalahkan orang lain.

2. Penjual rokok tidak mematuhi arahan kerajaan agar tidak menjual rokok kepada remaja bawah umur kerana tidak memahami bahawa mereka juga perlu menjalankan tanggungjawab sosial. Penjual rokok hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan hasrat kerajaan untuk melahirkan remaja yang sihat.

3. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang melarang remaja merokok di tempat-tempat awam. Media massa perlu membuat publisiti secara meluas tentang implikasi negatif akibat aktiviti merokok.

PRAKTIS 2
Ringkasan – Kesan pembakaran sampah sarap

Antara kesan pembakaran terbuka ialah penduduk di kawasan sekitar berasa tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau yang busuk lagi meloyakan. Air busuk ammonia di kawasan pelupusan sampah menyebabkan aliran air tersebut mengalir ke sungai berdekatan. Tambahan pula, pencemaran sungai menjadikan hidupan akuatik seperti ikan mahupun udang akan mati. Pembakaran terbuka mengakibatkan jerebu sementara sampah sarap yang bertaburan di tepi jalan menimbulkan suatu pemandangan yang menjijikan. Penduduk di kawasan sekitar selalu mengalami batuk, asma dan demam yang berpanjangan terutamanya kanak-kanak dan orang tua. ( 82 patah perkataan )

Pemahaman
1. Rangkai kata ‘seolah-olah tiada penghujungnya’ bererti seperti tiada kesudahan.

2. Pembakaran terbuka sukar dihapuskan kerana tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa kepada syarikat atau pihak yang bertanggungjawab. Di samping itu, kurangnya kesedaran orang ramai terhadap kesan pembakaran terbuka juga mengakibatkan masalah tersebut sukar dihapuskan.

3. Kebaikan kempen kitar semula ialah bahan-bahan buangan dapat diuruskan dengan lebih teratur kerana dapat digunakan semula. Selain itu, pencemaran alam akibat pembuangan barangan terpakai dapat dikawal melalui kempen kitar semula.


PRAKTIS 3
Ringkasan – Peranan Bahasa dalam Kehidupan

Bahasa merupakan identiti sesebuah bangsa dan negara yang merdeka. Bahasa turut memainkan peranan sebagai modal budaya terpenting dalam masyarakat. Selain berfungsi sebagai alat untuk berkomunikasi, bahasa juga penting sebagai alat mempertahankan jati diri, bangsa, dan negara. Bahasa juga dapat mewujudkan kekuatan dalaman, tamadun, dan budaya bangsa itu sendiri. Dalam pada itu, bahasa amat diperlukan untuk menangkis arus globalisasi agar kelangsungan dan kewujudan bangsa yang merdeka dapat dikekalkan. Seperkara lagi, bahasa turut menjadi alat perpaduan masyarakat berbilang kaum. (77 patah perkataan )

Pemahaman
1.Rangkai kata menangkis arus globalisasi bererti menongkah proses pembangunan.

2.Antara kepentingan mempelajari Bahasa Inggeris termasuklah memudahkan kita berinteraksi dengan dunia luar. Selain itu, kita dapat mempelajari dan memahami ilmu pengetahuan yang terdapat dalam bahan ilmiah bahasa tersebut.

3.Penggunaan Bahasa Melayu tidak dititikberatkan oleh masyarakat kini kerana masyarakat menganggap Bahasa Inggeris lebih tinggi kedudukannya. Individu yang bertutur dalam Bahasa Inggeris mempunyai status yang tinggi. Selain itu, generasi sekarang tidak fasih berbahasa Melayu kerana didedahkan dengan penggunaan bahasa Inggeris sejak kecil lagi.


PRAKTIS 4
Ringkasan - Usaha untuk mengekalkan permainan tradisional

Antara usaha untuk mengekalkan permainan tradisional termasuklah memperkenalkan permainan tradisional di peringkat sekolah. Pihak sekolah boleh menggubal peraturan tertentu dan menyelaraskannya supaya dipertandingkan sebagai suatu bentuk sukan. Pihak media perlu menyiarkan cara permainan tradisional tertentu dimainkan. Selain itu, usaha perlu dilakukan untuk menjadikan permainan tradisional sebagai satu daripada acara dalam program tertentu. Kementerian Kesenian, Kebudayaan, dan Warisan perlu mengadakan pelbagai program supaya generasi muda berpeluang mengenal dan mempelajari permainan tradisional. Kementerian tersebut digalakkan mengadakan pertunjukan permainan tradisional dalam kalangan masyarakat setempat malah masyarakat luar negeri. ( 81 patah perkataan)

Pemahaman
1.Rangkai kata ‘usaha yang rencam’ bererti langkah yang pelbagai.

2.Pihak media dapat memainkan peranan untuk menghidupkan permainan tradisional dengan memberikan publisiti meluas tentang permainan tradisional. Di samping itu, pihak media perlu lebih kerap menyiarkan jenis-jenis dan cara-cara permainan tradisional dimainkan.
3.Antara faktor yang memungkinkan generasi muda tidak meminati permainan tradisional termasuklah wujud permainan moden seperti permainan komputer. Tambahan pula, kebanyakan remaja mengisi masa lapang mereka dengan melayari internet di kafe siber.

PRAKTIS 5
Ringkasan – Ancaman makanan segara

Antara ancaman makanan segera termasuklah mengandungi kandungan lemak, gula, garam, dan bahan kimia yang tinggi. Pengambilan makanan segera akan mengancam kesihatan rakyat terutamanya golongan kanak-kanak. Makanan segera turut menjadi penyumbang kepada penyakit kritikal yang berbahaya. Tambahan pula, pengambilan makanan segera akan mengganggu sistem metabolisme akibat pertambahan kalori dalam badan. Kebanyakan menu makanan tersebut mengandungi kadar karbohidrat yang tinggi tanpa sebarang vitamin atau zat yang berfaedah terutama untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Malahan, makanan segera menerbitkan rasa ketagih dalam kalangan penggemarnya. ( 80 patah perkataan)

Pemahaman
1.Rangkai kata ‘menawan hati ’ membawa maksud menarik minat.

2.Antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk membendung pengaruh iklan makan segera termasuklah menghentikan penyiaran iklan makanan segera dan menggerakkan kempen untuk membantu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. Di samping itu, kerajaan juga perlu bekerjasama dengan persatuan pengguna untuk memberikan kesedaran kepada pengguna tentang bahaya makanan segera.

3.Masyarakat gemar menikmati makanan segera kerana promosi hebat syarikat makanan segera menerusi iklan dalam media cetak dan media elektronik, iaitu restoran makanan segera dipaparkan sebagai tempat yang menarik untuk seisi keluarga menjamu selera. Pengenalan produk-produk baru, pemberian hadiah berupa alat mainan untuk kanak-kanak, dan rasa makanan segera yang enak menyebabkan penggemarnya ketagih.

No comments:

Post a Comment