Total Pageviews

Thursday, 4 August 2011

ASPEK KAJIAN KOMPONEN SASTERA

ASPEK KAJIAN KOMPONEN SASTERA DALAM BAHASA MELAYU ( KOMSAS)
SKOP KAJIAN, TEKNIK PENCERITAAN DAN UNSUR GAYA BAHASA

Skop Kajian Teks Sastera

1. Sinopsis: Ringkasan cerita yang merangkumi perkara-perkara penting dalam sesebuah novel atau cereka.

2. Tema : Persoalan utama yang hendak disampaikan oleh penulis dalam sesebuah
karya.

3. Persoalan: Idea-idea sampingan yang hendak disampaikan oleh penulis dalam karya mereka.

4. Plot : Jalinan peristiwa atau cerita dalam sesebuah cerita yang terjadi atas SEBAB dan AKIBAT.Terdiri daripada peringkat eksposisi/permulaan, perkembangan, perumitan,klimaks/kemuncak cerita dan peleraian/penyelesaian masalah.

5. Watak : Manusia, binatang atau makhluk lain yang menjadi pelaku atau pelakon cereka yang yang dicipta oleh seseorang pengarang. Watak baik digelar
protagonis dan watak jahat digelar antagonis.

6. Watak Utama : Watak yang menjadi fokus utama yang mengerakkan sesuatu cerita.

7. Watak Sampingan: Watak pembantu yang peranannya lebih kecil daripada watak
Utama.

8. Latar : “ Setting” atau tempat yang menunjukkan lokasi dan gambaran/suasanasesuatu peristiwa itu berlaku.

9. Latar tempat: Tempat di mana berlakunya peristiwa

10. Latar masa: Waktu kejadian dalam sesebuah cereka yang meliputi zaman, musimdan masa.

11. Latar masyarakat: Gambaran tentang keadaan masyarakat semsa peristiwa dalam cereka berlaku.



Teknik Penceritaan dalam Teks Sastera

1. Teknik Suspens: Digunakan oleh pengarang supaya pembaca tertanya-tanya mengapa sesuatu peristiwa itu terjadi.

2. Teknik Kejutan : Penulis memasukkan sesuatu watak secara tiba-tiba.

3. Teknik Dialog : Percakapan watak-watak sama ada dituturkan secara jelas/perlahan kepada orang lain.

4. Teknik Monolog : Pertuturan atau pengucapan watak secara bersendirian seperti ratapan, doa, dan perasaan watak.

5. Teknik Monolog Dalaman: Percakapan/pertuturan di dalam hati. Hanya dirinya yang mendengar dan memahami apa yang diucapkan

6. Prolog /Prakata: Terdapat dalam drama,disampaikan dalam pelbagai bentuk seperti puisi, nyanyian dan pernyataan. Prolog dibacakan oleh salah seorang pelakon.

7. Epilog: Pernyataan sebagai penutup sesuatu penulisan atau karya. Boleh diucapkan dalam bentuk puisi, syair atau huraian pantun.

8. Teknik Pemerian:Pemaparan yang jelas, terperinci dan hidup tentang suasana latar dan peristiwa yang dialami oleh watak.

9. Teknik Imbas Muka: Cara pengarang membayangkan/meramalkan/membuat andaian
tentang perkara akan datang yang belum berlaku.

10. Teknik Imbas Kembali: mempersembahkan cerita dengan mengingat kembali
peristiwa melalui ingatan, khayalan dan sebagainya.

11. Kronologi : Mengikut perkembangan masa

12. Sudut Pandangan: Cara pengarang meletakkan kedudukan dirinya ketika
mengembangan sesuatu plot.

13. Sudut Pandangan Orang Pertama: Kata ganti nama diri pertama, iaitu ‘aku’
seringkali digunakan.

14. Sudut Pandangan Orang Ketiga: Pengarang meletakkan dirinya di luar daripada watak-watak atau pelaku-pelaku yang diceritakan. Pengarang kerap menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu ‘dia’ dan ‘mereka’.


15. Nada: Bunyi tinggi rendah/ tekanan suara ketika mendeklamasikan sajak.
- nada melankolik ( murung/sedih )
- nada romantis ( percintaan/keindahan)
- nada protes ( tentangan/ sanggahan )
- nada sinis ( mengejek/mempersenda )
- nada patriotik (semangat kebangsaan)





Keindahan Bahasa/Unsur Gaya Bahasa dalam Genre Sastera

1. Metafora: Perbandingan terus atau secara langsung yang menggabungkan satu
perkataan konkrit dengan perkataan abstrak.
- Mereka tenggelam dalam lautan fikiran masing-masing.

2. Simile : Perbandingan secara tidak langsung antara satu benda yang sama dengan menggunakan kata bandingan.
- Ayahnya menengking dengan suara yang bagaikan halilintar.


3. Hiperbola: Perbandingan yang dibuat untuk sesuatu sesuatu keadaan/peristiwa yang keterlaluan atau melampau. ( menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan)
- Cita-citanya menggunung tinggi.

4. Perlambangan/ Simbolik: Kata-kata yang digunakan untuk menerangkan sesuatu
benda, keadaan atau peristiwa.
- Sebab emas budi terbuang
( ‘emas’ melambangkan harta benda atau kekayaan )


5. Pengulangan: Unsur pengulangan berlaku pada kata, ungkapan, barisan atau
rangkap.

6.Anafora: Pengulangan kata pada awal baris pantun/sajak.
- Kawan ketawa ramai selalu,
Kawan menangis seorang diri.

7. Epifora : Pengulangan perkataan ataufrasa di akhir baris pantun/sajak.
Dewa berjalan dihampirinya,
Naga yang besar didekatinya,
Setelah naga mencium baunya,
Kepala diangkat ternganga mulutnya.

8.Repetisi/repitasi : Pengulangan kata dalam baris/ ayat tertentu.
- Muka mesti manis, mulut mesti ramah, hati mesti baik.


9. Responsi : Pengulangan kata di tengah baris.
Hari ini menugal jagung,
Hari esok menugal jelai;
Hari ini kita berkampung,
Hari esok kita bercerai.

10. Sinkof / Sinkope : Singkatan perkataan.
- “ Eiii,! Kenapa mata kau tu?”
( kau – engkau, tu – itu )


11. Hybrid : Penggabungan kata.( daripada dua perkataan menjadi satu perkataan )
Takkan awak tak boleh jawab soalan ini?” kata cikgu kepada Ramli.
“ takkan” daripada perkataan “ tidak akan “


12. Inversi: Pembalikan susunan perkataan dalam ayat.
- Terdiam Zulkifli memikirlan jawapan.
( sepatutnya Zulkifli terdiam memikirkan jawapan.)


13. Personifikasi : Memberi sifatsifat kemanusiaan (perorangan/penginsanan) terhadap objek yang tidak bernyawa.
- matahari tersenyum menyambut kehadiran kami.


14. Jeda: Hentian sejenak pada tengah baris semasa mendeklamasikan sajak.
Tanda (/) membawa tanda jeda/pemenggalan.


15. Rima Akhir: Pengulangan bunyi yang sama atau keselarasan bunyi pada kata/suku terakhir sesuatu ayat/baris puisi.
Contoh rima akhir ialah ‘abab’,’aaaa’ ‘abcdabcd’ dan sebagainya.


16. Asonansi: Pengulangan bunyi vokal yang sama dalam puisi. Contoh vokal ialah a,e,i,o, dan u.
- Pandai melompat pandai berlari
( pengulangan vokal ‘a’)

17. Aliterasi: Pengulangan bunyi konsonan yang sama dalam baris pantun/sajak.
- Kalau ada silap dan salah
( pengulangan konsonan ‘l’)


18.Paradoks: Unsur-unsur pertentangan yang nyata dengan pendapat umum.
- dalam kesepian di tengah ramai


19. Onomatope: Mengekalkan bunyi asal sesuatu benda.
Angin yang menderu-deru .

No comments:

Post a Comment